18.2.10

Hari ini bukan semalam

Detik masa terus berlalu tanpa menunggu sesiapa pun samada ia pemuda, pemudi, pemimpin, rakyat atau sesiapa saja detik masa tetap berjalan seperti biasa. Setiap detik yang berlalu tidak akan mengundur dan ia akan terus ke depan dan terus ke depan walaupun kita cuba mengejar dan menahan masa tetapi kita tetap tidak mampu. Saya juga tidak terlepas dari bergelut dengan masa yang telah dianugerahkan olehNya tidak lebih dan tidak kurang walau sedetik. Rutin kita seharian bahkan sehingga ke akhir hayat tetap dengan masa dan setiap hari kita akan berubah serta menyelami atau melayari sesuatu yang baru mengikut detik masa yang berlalu.

Begitulah diri kita setiap detik jika kita amati pasti kita akan terasa sesuatu mengikut detik masa yang diberikan kepada kita. Jika pada hari ini di waktu yang sama kita melakukan sesuatu pasti sesuatu itu tidak sama dengan apa yang kita lakukan pada hari-hari yang telah berlalu. Contoh : Jika pada hari semalam pada detik 7.00 pagi kita memakai kasut mungkin pada hari ini pada waktu yang sama kita sedang memakai setokin. Begitulah seharian pasti kita akan melakukan perkara yang berbeza pada setiap detik yang berlalu dan tidak mungkin akan sentiasa sama dengan apa yang kita lakukan semalam dan hari ini dan seterusnya hari-hari yang mendatang. Perkara yang berlainan ini berlaku adalah menjadi satu pengajaran dan perkembangan ilmu pada diri kita sekiranya kita perhalusi dengan penuh keyakinan. Setiap detik juga akan meninggalkan kenangan yang tidak mungkin kita dapat kecapi lagi pada hari ini kerana apa yang kita dapat pada hari ini adalah satu kenangan yang baru akan kita bawa ke esok harinya.

Putaran masa ini akan terus berlaku kepada setiap makhluk di dunia sehingga ke akhir hayat kita. Walaupun kita cuba menghalang atau mengelak tetapi ketentuan ini tidak akan berganjak melainkan dengan kekuasaanNya. Hidup mesti diteruskan, jadi kita akan meneruskan kembara kehidupan hari ini dengan membina satu kerangka kembara hidup yang lebih baik dari semalam kerana hari ini bukan lagi semalam dan jika semalam kita gagal pada hari ini kita akan bangun semula dari kegagalan tersebut dengan kejayaan yang lebih besar dan jika semalam kita berjaya hari ini kita akan bersiap sedia untuk menempuh hari esok agar kejayaan kita dapat pertahankan malah akan kita kembangkan kejayaan menjadi lebih berjaya dari semalam dan hari ini. Secara ringkasnya kita akan ditemukan dengan sesuatu yang berlainan setiap hari samaada kita perasan ataupun tidak secara tidak langsung kita sentiasa belajar dari hari ke hari hinggalah di akhir hayat kita dan yang pasti hari ini bukan lagi semalam, jika semalam kita terlepas sesuatu yang berharga kita harus mencarinya pada hari ini usahlah kita berangan untuk kembali pada hari semalam. Perjuangan mesti diteruskan.........

5.2.10

Lagu Kem Motivasi

Lagu tema adalah menjadi lagu pencetus semangat dan minat kepada para peserta di dalam Kem Motivasi. Lagu tersebut mengandung senikata yang berunsur motivasi dan kata-kata yang positif. Lagu ini akan dinanyikan oleh para peserta sebelum sesuatu aktiviti utama berlangsung. Para peserta dikhendaki menghafal lagu tersebut secara tidak langsung ia mendidik para peserta untuk menyusun strategi dan kaedah menghafal dengan pantas dan ia boleh diguna pakai bagi para peserta unutk teknik-teknik menghafal apa yang dipelajari di dalam menuntut ilmu.




Ulasan ringkas lagu tema :

Lagu ini mengambarkan seorang pelajar yang ingin berjuang di dalam menuntut ilmu dan terpaksa berpisah semantara meninggalkan keluarga terutama ayah dan ibu mereka. Bagai mencapai maksud dan kejayaan di dalam perjuangan mereka mereka memerlukan restu dan doa dari ibubapa mereka kerana restu dan doa ibubapa akan menjadi pemangkin kepada kejayaan mereka.

Setiap pejuang pasti akan menerima ketentuaan dariNya sama ada hidup ataupun mati dan jika ia ditentukan tidak akan bertemu lagi dengan ibu bapa mereka bermakna ia telah kembali kepadaNya sebagai seorang terkorban kerana menuntut ilmu yang baik dan kematianya itu mulia di sisi Allah.

Kecekalan dan semangat mereka berjuang adalah amat tinggi kerana mereka tidak akan menyerah kalah walaupun mereka menghadapi pelbagai rintangan dan halangan. Mereka juga lebih rela meneruskan perjuangan mereka sehingga diri mereka yang terkorban demi mencapai cita-cita yang murni di sisi agama. Mereka juga tidak akan mudah mengaku kalah sebelum berusaha bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan.

Ikrar Kembara Motivasi

Program Kembara yang dijalankan adalah selari dengan ikrar dan janji bersama yang telah dimenteri oleh para peserta semasa hari pertama mereka berdaftar di kem motivasi ini. Tujuan ikrar ini dibacakan adalah bagi mendidik para peserta mematuhi dan mengamalkan teras-teras Kem Motivasi dan Kembara yang dijalankan sepanjang kem ini berlangsung. Antara ikrar yang dilafazkan oleh peserta terkandung perkara-perkara yang menjadi asas di dalam kehidupan mereka sebagai insan di mukabumi ini. Contoh ikrar tersebut adalah seperti di bawah :

Ikarar 1


Ikarar 2




Ini bermakna seorang peserta yang tiada inisiatif untuk meninggikan kualiti diri dan pertaruran kem tersebut telah melanggar ikrarnya sendiri. Kerana tidak berusaha dan berazam untuk meninggikan kualiti sikap diri mereka sendiri. Peserta yang baik adalah seorang yang dapat menunaikan tanggunjawabnya penuh bertanggungjawab dan dedikasi. Seccara tidak langsung ikrar ini akan mendidik peserta untuk memahami falsafah ikrar itu sendiri demi kemajuan diri di dunia dan di akhirat agar tidak menjadi seorang insan yang sia-sia.

4.2.10

Kisah Si Pohon 2

Pohon yang menghijau akan memberi sesuatu pandangan yang amat mengasyikan 'redup mata memandang' dan memberi seribu ketenangan kepada sesiapa yang melihatnya. Pohon menghijau adalah kurniaan Allah yang maha Esa yang memberikan menafaat kepada manusia tidak kira sesiapa pun mereka sama ada yang baik atau yang buruk. Pohon juga akan menghasilkan sesuatu keperluan yang dapat digunakan oleh semua makhluk mengikut kesesuaian masing-masing dan pohon juga boleh memberi sumber tenaga kepada makhluk hidup mengikut keserasian mereka.

Begitulah besar dan hebatnya ciptaan Allah yang maha Esa dan begitu setianya pohon yang diciptaNya kerana tidak pernah membantah dalam memberi khidmat kepada PenciptaNya dan kepada yang diciptaNya. Pohon juga tidak pernah mengeluh dan bersungut dalam menjalankan tanggunjawabnya selagi ia mempunyai hayat. Pohon juga tidak pernah menolak setiap kali makhluk bumi ingin menggunakan dirinya demi kepentingan makhluk lain. Kita tidak pernah mendengar pohon akan berkata "TIDAK" dan kita tidak pernah mendengar atau melihat pohon akan melarikan diri jika kita ingin memetik buah, daun, pucuk dan putiknya serta menebangnya, memotongnya, membakarnya ataupun menakeknya. Begitulah sifat si Pohon begitu setia dan bertanggunjawab dalam menjalankan amanah yang diberikan kepadanya demi kebaikan makhluk lain. Begitupun Si Pohon yang sentiasa memberi khidmat berterusan tanpa rungutan pun kadangkala dibenci, dihina dan dicerca oleh makhluk lain.

Andai kita berfikir secara singkat pasti kita akan menyatakan bahawa pohon memang begitu sifatnya tidak bernyawa dan tiada memiliki akal serta otak. Alangkah malangnya mereka yang berfikiran demikian kerana tidak mengambil sedikit pengajaran dari tauladan yang ditunjukan oleh Si Pohon. Andai kita mempunyai akal dan otak kita sebagai manusia mesti menjadi lebih baik serta lebih bertanggunjawab di dalam menjalankan amanah yang diberikan kepada kita kerana akal dan otak yang dianugerahkan kepada kita akan dapat membantu kita untuk membuat satu keputusan dan tindakan yang efektif dan efisien. Jika Si Pohon sanggup berkorban diri sendiri demi kebaikan, kesenangan dan kemudahan makhluk lain apa salahnya kita sebagai manusia mengikut jejak langkah kebaikan Si Pohon.

Secara keseluruhan marilah kita pakat-pakat renungkan betapa besarnya pengorbanan Si Pohon kepada kita dan kita sudah pasti tidak mampu untuk mengikut jejak langkah Si Pohon kerana dengan akal + otak + nafsu yang dianugerahkan kepada kita akan menjadikan setiap keputusan yang kita ambil menjadi sekukuh 'kerak nasi'. Andai kita tidak mampu mengikuti atau meniru pengorbanan Si Pohon 100% boleh le kita berfikir untuk mengambil iktibarnya walaupun 5% kerana itu lebih baik daripada kita langsung tidak mengambil apa-apa manafaat daripadanya. Apa pun yang berlaku segala keputusan dan tindakan di tangan kita sendiri jika baik niat kita baiklah tindakan dan kesudahannya jika buruk niat kita buruklah tindakan kita dan hinalah kesudahannya.

2.2.10

Catatan Pengarang 2

Salam untuk semua semoga dianugerahkan oleh Allah dengan keberkahtan hidup yang berpanjangan dan sentiasa dibawah lindunganNya sentiasa. Salam pertemuan kali yang kedua bagi tahun 2010 walaupun agak terlambat bagi saya mengucapkan salam Pada Tahun Baru ini tetapi tidak terlewat rasanya saya mengucapkannya kerana bagi saya kita harus sentiasa berfikiran terbuka.

Saya tidak bermaksud untuk menulis dengan panjang lebar pada kali ini kerana ini adalah hanya mukadimah bagi saya untuk berkongsi sesuatu dengan pembaca melalui blog KemVasi : Halaman Kembara Motivasi. Pada hari ini saya mengubah sedikit nama kepada blog ini agar ia memberi impak yang lebih meluas dan pengisian yang pelbagai. Ihlam ini datang secara tiba-tiba dan memberi inspirasi kepada saya untuk menukar nama blog ini kepada KemVasi : Halaman Kembara Explorasi, dengan penjenamaan semula versi ini saya berharap blog ini akan lebih sukses dan berterampilan serta mempunyai pengisian yang menyeluruh tetapi terkawal dari segi pengisiannya.

Secara keseluruhan walaupun nama sedikit berbeza tetapi pengisiannya tetap tidak lari dari konsep asal dan yang paling utama matlamat tetap sama untuk kemakmuran sejagat serta memberi yang terbaik kepada semua insan di dunia. Selamat maju jaya dan terus maju kehadapan dengan pelbagai aspek perkongsian ilmu yang menafaat kepada semua. Sekian dahulu untuk kali ini dan kita akan berjumpa lagi...

1.2.10

Satu Perjuangan


Pengalaman Membina Semangat Baru

Bulan Februari telah membentangkan hamparan menanti kehadiran si pengembara merentasi dan menerokai keistimewaan Februari. Bulan Januari telah melabuhkan tirainya, pelbagai kenangan dan pengajaran yang kita telah dapat serta dikumpulkan disepanjang kita merentasi hari demi hari selama 31 hari di bulan Januari.

Pelbagai kenangan, tauladan dan pengalaman yang kita dapat kutip satu persatu disepanjang masa berlalu, pasti ada yang manis, pahit, kelat dan perit serta ada juga yang begitu menyentuh hati sanubari kita sebagai manusia insan di dunia. Apa yang penting setiap pengalaman yang kita tempohi hendaklah kita simpan sebagi rujukan agar ia menjadi pedoman perjalanan kita yang seterusnya sebagai pengembara di alam yang fana ini. Bak kata pepatah "Yang baik kita jadikan tauladan dan yang buruk kita jadikan sempadan" begitu juga "Yang pahit mungkin penawar dan yang manis belum tentu menjadi ubat" jadi apa yang kita lalui adalah satu pengalaman yang amat bermakna untuk kita perbaiki diri kita sebelum kita dapat memperbaiki diri orang lain.

Kita singkap kembali perjalanan kita disepanjang bulan Januari pelbagai perkara dan kejadian serta situasi yang pelbagai ragam telah berlaku. Jika kita ingat kembali dari pelbagai perkara tersebut mesti ada diantaranya memerlukan perjuangan dan pengorbanan dari diri kita sendiri. Lantas bagi menghadapi pelbagai perkara tersebut, kita tanyakan hati kita apakah perkara yang terbaik telah kita lakukan untuk diri kita, untuk orang lain, keluarga dan saudara mara kita, anak-anak kita, isteri kita, ibu bapa kita serta jiran tetangga kita, kawan-kawan dan musuh kita serta agama kita, bangsa, negeri dan negara kita? Jika kita ada melakukan perkara yang terbaik kepada yang disebutkan kita muhasabah diri kita sekali lagi sejauhmana keikhlasan kita melakukan tanggunjawab tersebut adakah kita lakukan kerana sesuatu yang lain selain daripada keikhlasan kita kepadaNya.

Begitulah sebahagian daripada persoalan yang bermain difikiran saya sehari-harian setiap kali masa dan hari berlalu. Saya ingin berkongsi di sini tentang perkara-perkara tersebut bukannya kerana ingin menunjuk sesuatu atau menonjolkan diri sendiri tetapi ini adalah sebahagian perkongsian pengalaman yang saya dapat dari diri saya sendiri dan hasil perkongsian pengalaman serta luahan rakan-rakan dan orang yang terdekat dengan saya. Hasil daripada perkongsian ini kita akan dapat menyelami hati budi seseorang termasuk diri kita sendiri kita akan lebih kenal siapa kita dan siapa dia serta kekuatan dan kelemahan kita.

Kita sebagai pejuang mesti sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal serta persediaan yang lain yang utama dan yang lebih penting kita mesti sentiasa ada satu semangat dan keazaman baru setiap hari di dalam diri kita agar menjadi pendorong untuk membina perubahan disepanjang perjalanan kehidupan kita. "Hari ini mestilah lebih baik dari semalam" kita jadikan motto di dalam kehidupan, kita mesti belajar untuk memperbaiki dan menambah Standard hidup kita dari pelbagai aspek demi kemajuan diri, keluarga, rakan, bangsa dan negara. Kita tinggalkan Januarai, kita bawa bersama perjuangan yang belum diselesaikan untuk kita teroki dan bereskan lantas kita tempohi Februari dengan satu semangat dan azam yang baru berbekalkan ilmu dan perancangan yang kita perolehi bagi memudahkan perjalanan sepanjang Februari.