31.1.10
Kisah Sipohon
Kalau pohon yang telah ditanam belum berbunga tidak dijaga, takut nanti pokok itu akan terbantut menjadi pohon yang rendang dan tidak berbuah. Sayang rasanya jika pohon yang menghasilkan buah yang banyak dan bermutu mengikut kata-kata yang pernah menikmati hasil dari pokok ini dibiarkan sahaja tanpa pengawasan yang terbaik dan berkualiti. Biarlah pohon itu terus dijaga dan dibaja dengan keikhlasan hati yang mulia dari tangan-tangan yang terbukti mempunyai hati yang bersih dan suci.
Kita perlu bertindak segera jika pohon yang kita tanam menghadapi masalah agar pohon tadi tidak terus melayu dan akhirnya akan tumbang ke bumi bersama-sama dengan hasilnya nanti. Memang susah menjaga pohon yang berkualiti kerana ia akan menghadapi pelbagai rintangan dan kepayahan tetapi itulah dugaan dari yang Maha Esa bagi menguji diri kita si penjaganya adakah kita lebih mementingkan semangat keikhlasan hati yang murni atau semangat keegoan diri. Jika kita lebih mementingkan keegoan diri sebenarnya kita telah gagal menjadi penanggunjawab yang sempurna bagi pohon tersebut bak kata seorang sahabat saya :
"kalau kita berjuang kerana Allah dan hari akhirat kita akan berjuang tanpa mengira apa jua halangan dan dugaan akan kita tempuhi dengan keikhlasan kerana kita yakin bahawa keredaan Allah adalah lebih penting dari keredahan manusia"
dan :
"Kalau kita berjuang kerana keduniaan maka kita akan tewas sebelum kita berjuang kerana kita gagal mengatasi bisikan syaitan yang memang mengharapkan kita untuk menjadi sepertinya agar khayal di dunia yang fana ini"
Kita telah ditakdirkan dan dipilih oleh Allah untuk menjaga pohon tersebut kerana yang Maha Esa lebih mengetahui tentang keupayaan dan kekuatan kita bukanya diri kita sendiri yang menentukannya segalanya telah ditentukan olehNya. Kitalah penanggungjawab yang sebenarnya dan kitalah yang akan terus dipertanggungjawabkan untuk meneruskan pengorbanan bagi menghalang penyakit-penyakit dari terus merebak dan seterusnya membunuh pohon tersebut.
Jesteru itu marilah rakan-rakan sekelian kita berganding bahu untuk bersama-sama tanpa mengira siapa kita untuk terus menabur bakti menjaga dan membaja pohon yang telah ditanam dengan penuh semangat dan berintizam untuk berkerja bersama-sama sehingga pohon tersebut akan terus menghasilkan buah yang sentiasa bermutu serta memberi manafaat kepada sesiapa sahaja yang memakannya kerana itu lebih baik daripada kita memikirkan perkara-perkara yang akan menyebabkan pohon itu rebah kebumi.
"Pohon yang kuat mempunyai dahan yang kukuh, dahan yang kukuh kerana makanan yang berkhasiat, makanan yang berhasiat kerana menpunyai saluran yang baik, saluran yang baik kerana akarnya yang teguh, akar yang teguh kerana mempunyai tanahnya berkualiti, tanah berkualiti kerana tuannya mempunyai hati budi perkerti yang terpuji."
26.1.10
Tunku Ibrahim dimasyhur
Tunku Ibrahim dimasyhur
|
|
JOHOR BAHRU 23 Jan. – Pemangku Raja Johor, Tunku Ibrahim Ismail, 52, dimashyurkan sebagai Sultan Johor yang kelima hari ini.
Istiadat pemashyuran baginda diadakan di tangga Istana Besar, di sini pukul 1.08 petang.
Watikah pemasyhuran Sultan Ibrahim Ismail dibacakan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.
Menurut Abdul Ghani, Sultan Ibrahim telah menandatangani watikah pemashyuran sebagai Sultan Johor di hadapan Jumaah Majlis Diraja Johor dan kaum kerabat Diraja Johor di Bilik Singahsana, Istana Besar, Johor Bahru.
‘‘Ketahuilah olehmu sekalian rakyat negeri kita daripada bangsa keturunan Melayu dan lain-lain keturunan dan ketahuilah juga olehmu sekalian yang berkenaan dengan negeri dan jajahan tanah air kita bahawa mengikut Fasal 8 Bagi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor tahun 1895 kita. Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj telah menaiki tahta kerajaan.
‘‘Dan telah mengangkat sumpah di dalam Bilik Singgahsana di Istana Besar Johor Bahru pada pukul 10.15 pagi pada 7 Safar 1431 bersamaan dengan 23 Januari 2010 di hadapan jumaah pangkuan negeri menjadi Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri dalam jajahan Johor dan segala daerah takluknya bagi menggantikan Seri Paduka ayahanda kita, Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ismail bertarikh di Istana Besar Johor Bahru pada 23 Januari 2010 dengan titah perintah Datuk Abdul Ghani bin Othman, Menteri Besar Johor,” katanya Abdul Ghani.
Pemashyuran itu dilangsungkan sebelum jenazah ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar dibawa ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, di sini untuk istiadat pemakaman.
Sebaik sahaja selesai pembacaan watikah itu, Penasihat Majlis Agama Islam, Datuk Nooh Gadut membacakan doa kira-kira pukul 1.12 petang.
Selesai bacaan doa, kedengaran laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali dilafazkan oleh rakyat dan para hadirin.
Ia diikuti dengan Majlis Perangkatan jenazah Almarhum Sultan Ibrahim dari Dewan Istana Besar menggunakan sebuah pedati dengan ditarik oleh Pasukan Istiadat dan Pegawai Badan Istiadat istana menuju ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah yang terletak kira-kira tiga kilometer.
Pedati yang membawa jenazah Almarhum itu turut dinaiki oleh Tunku Bendahara Johor, Tunku Abdul Majid Idris Sultan Iskandar dan Raja Muda Johor, Tunku Ismail Ibrahim.
Sultan Ibrahim Ismail bersama kaum kerabat lain berjalan kaki mengiring jenazah ke makam berkenaan sambil diiringi dengan tembakan meriam sebanyak 77 das, bersamaan dengan usia Almarhum.
|
|
Selain itu, kerabat-kerabat diraja dari negeri lain dan tetamu kehormat turut menuju ke Makam Diraja berkenaan.
Hampir kesemua raja dan sultan di negara ini serta kaum kerabat mereka hadir pada majlis berkenaan yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta isteri masing-masing.
Sultan Ibrahim Ismail menggantikan ayahanda baginda yang mangkat semalam pada usia 77 tahun setelah memerintah negeri ini hampir tiga dekad bermula 11 Mei 1981.
Petang semalam baginda dilantik sebagai Pemangku Raja oleh Jumaah Majlis Diraja Johor setelah menerima laporan kegeringan Sultan Iskandar daripada tiga pakar perubatan di Hospital Pakar Johor, di sini bahawa ayahanda baginda tidak dapat melakukan kerja-kerja raja.
Namun, Sultan Iskandar disahkan mangkat pukul 7.15 malam.
Sultan Ibrahim Ismail yang diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah (HSA) merupakan putera sulung Almarhum Sultan Iskandar.
Baginda yang berjiwa rakyat telah dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor di Istana Besar Johor Bahru pada 3 Julai 1985.
Hasil perkongsian hidup dengan Raja Zarith Sofiah Ibni Almarhum Sultan Idris Shah, pasangan diraja itu dikurniakan enam cahaya mata, lima putera dan seorang puteri iaitu Tunku Ismail Ibrahim, Tunku Aminah, Tunku Idris, Tunku Abdul Jalil, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar.
Sultan Ibrahim Ismail mula mendapat pendidikan asas di Taman Didikan Kanak-kanak Tuanku Ampuan Mariam, Johor Bahru sebelum memulakan pelajaran formal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman (1) Johor Bahru.
Baginda kemudiannya melanjutkan pelajaran di Trinity Grammar School di Australia mulai 1968 hingga 1970.
Sultan Ibrahim Ismail juga pernah mendapat pendidikan di Maktab Sultan Abu Bakar (English College Johor Bahru) dari 1971-1975.
Baginda turut menerima pendidikan agama di Sekolah Agama Bukit Zaharah dan Sekolah Agama Air Molek Johor Bahru.
Setelah tamat persekolahan, Sultan Ibrahim Ismail telah dihantar ke Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada), Kota Tinggi selama tiga bulan untuk menerima latihan asas ketenteraan.
Kemudian baginda ke Fort Benning, Georgia, Amerika Syarikat untuk latihan ketenteraan (Airborne dan Infantery Offices Basic Course) dan kemudian menyambung latihan di Fort Bragg, Amerika Syarikat.
Baginda turut menjalani latihan penerbangan helikopter di Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kluang dan seterusnya ke Fort Wracker, Amerika Syarikat untuk menjalani latihan lanjutan di Advanced Helicopter Flying‘s School dan menerima anugerah ‘sayap’ penerbangan.
Selain itu, baginda juga pernah melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang dan diplomasi dari Universiti Tuftf, Amerika Syarikat.
Dalam bidang sukan, Sultan Ibrahim Ismail gemar bermain polo dan menunggang motosikal berkuasa tinggi serta sinonim dengan program Kembara Mahkota Johor yang melawat ke seluruh pelosok negeri ini.
Sumber : Utusan Malaysia
Kemangkatan DYMM Sultan Johor
Kemangkatan DYMM Sultan Johor
JOHOR BAHRU 22 Jan. – Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, mangkat malam ini selepas memerintah Johor hampir tiga dekad.
Baginda berusia 77 tahun.
Almarhum mangkat pada pukul 7.15 malam di Hospital Pakar Puteri di sini selepas dimasukkan ke hospital itu semalam kerana gering.
Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di sini pada pukul 11.20 malam.
Baginda meninggalkan Sultanah Zanariah serta 10 orang putera dan puteri.
Sultan Iskandar, yang diputerakan di Istana Semayam, Johor Bahru pada 8 April 1932, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981.
Tiga tahun kemudian pada 15 November 1984 baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.
Petang ini, putera sulung baginda, Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail dimasyhurkan Pemangku Raja dan istiadat mengangkat sumpah diadakan di Istana Besar Johor.
Berita mengenai kegeringan Sultan Iskandar diumumkan oleh Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Tunku Osman Tunku Temenggong Ahmad pada pukul 5 petang.
Almarhum merupakan putera ketiga Almarhum Sultan Ismail ibni Sultan Ibrahim dan cicinda kepada Bapa Johor Moden, Almarhum Sultan Abu Bakar.
Sultan Iskandar, yang merupakan Sultan Johor keempat dalam sejarah Johor moden, menerima pendidikan awal di Johor Bahru, sebelum melanjutkan pelajaran ke Australia dan United Kingdom.
Baginda yang merupakan Kolonel Yang Dipertua, Rejimen Perkhidmatan Khas Malaysia (Komando), sering kelihatan memakai uniform tentera pada upacara rasmi kerana minatnya dalam bidang ketenteraan.
Sumber : Johor
Pengumuman Kemangkatan
Pengumuman Kemangkatan
Innalillahi Wainnalillahi Rajiun
Adalah dengan sangat kedukaan dan kemasyghulan dilafazkan iaitu Duli Yang Maha Mulia Baginda Almutawakkil ‘Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim. Sultan Johor yang amat dihormati dan dikasihi telah mangkat, berpindah daripada alam fana kealam akhirat yang baka pada jam 7.15 malam hari Jumaat tarikh 22 Januari 2010 bersamaan dengan 6 Safar 1431H di Hospital Pakart Puteri, Johor Bahru.
Oleh itu ketahuilah bahawa dengan titah perintah Duli Yang Amat Mulia Tunku Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar Pemangku Raja adalah ditentukan perkabungan kerana kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Baginda Almutawakkil ‘Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim, iaitu mulai hari ini 22 Januari 2010 seperti di bawah ini:
(1) Bendera Negeri diturunkan separuh tiang dan hari berikutnya dinaikkan separuh tiang dari jam 6.00 pagi hingga 6.00 petang dan sedimikian selama 7 hari dari tarikh dimakam Jenazah Al-Marhum Baginda Almutawakkil ‘Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim.
(2) Segala Bangunan-Bangunan Kerajaan hendaklah dinaikkan Bendera Negeri separuh tiang bagaimana waktu tersebut dalam (1) di atas dan demikian selama 7 hari daripada tarikh dimakamkan Jenazah Al-Marhum Baginda Almutawakkil ‘Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim.
(3) Segala bentuk hiburan dan permainan hendaklah dibatalkan pada siang dan malam tersebut pada hari memakamkan Jenazah Al-Marhum Baginda Almutawakkil ‘Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim.
(4) Semua masjid-masjid dan surau surau-surau di dalam Negeri Johor hendaklah mengadakan Majlis Tahlil dan Doa ke atas roh Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Tuanku itu selepas Fardhu Maghrib selama tujuh (7) hari selepas daripada dimakamkan Jenazah Al-Marhum Baginda Almutawakkil ‘Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim.
(5) Rakyat-rakyat dan penduduk negeri ini hendaklah berkabung dari tarikh ini dan kemudian daripada dimakamkan Jenazah Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia itu selama tujuh (7) hari.
PERATURAN BERKABUNG
(a) Bagi orang-orang Melayu hendaklah memakai tanda perkabungan kain putih berlilit selilit sahaja, selebar 2 inci pada songkok.
(b) Bagi lain-lain bangsa dan agama, memakai selilit kain hitam lebarnya 3 inci di lengan kiri dan bertali leher warna hitam.
(c) Bagi mereka-mereka yang berhak memakai uniform dan pada majlis yang tertentu, selilit kain hitam lebarnya 3 inci di lengan kiri.
(d) Bagi perempuan Melayu, hendaklah memakai tudung kepala warna putih.
(e) Bagi orang-orang perempuan lain bangsa atau agama, memakai selilit kain hitam lebarnya 3 inci di lengan kiri.
Ketahuilah juga bahawa Jenazah Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Baginda Almutawakkil ‘Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim, akan disemayamkan di Dewan Besar, Istana Besar,Johor Bahru hari esok di mana rakyat dan orang-orang awam bolehlah mengunjung ziarah bagaimana peraturan dan waktu yang disebutkan di bawah ini:
(a) Mulai pukul 9.00 pagi hingga 10.30 pagi - Untuk orang awam
(b) Mulai pukul 11.00 pagi hingga 12.30 tengah hari - Penghormatan terakhir oleh orang-orang kenamaan
Ketahuilah juga bahawa Jenazah Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Baginda Almutawakkil ‘Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim, akan dimakamkan di dalam Makam DiRaja Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru pada hari esok pukul 2.00 petang.
Perangkatan Jenazah itu akan bermula daripada Istana Besar pada pukul 1.30 petang.
PAKAIAN DI UPACARA PEMAKAMAN
(a) Uniform Istiadat yang berhak. Lilitan kain putih 2 inci di songkok.
(b) Lelaki Melayu- Baju Melayu Teluk Belanga serba hitam, berkabung lilitan kain putih di songkok hitam.
(c) Lelaki Bukan Melayu- Lounge Suit warna hitam, tali leher hitam, selilit kain hitam 3 inci di lengan kiri.
(d) Segala Darjah-Darjah dan Pingat-pingat hendaklah dipakai.
Semoga dicucuri rahmat yang berlebih-lebihan ke atas Roh Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan itu.
DATO’ HAJI ABDUL GHANI BIN OTHMAN
Menteri Besar Johor
Sumber : Johor
9.1.10
Catatan Pengarang
Alhamdulliah dengan izin Allah saya bersyukur kerana dapat juga saya menterjemahkan pembinaan blog KEMVASI : Halaman Kembara Motivasi ini setelah sekelian lama memikirkan dan memaksa diri ini untuk bertindak berani menghasilkan blog ini.
Blog ini ini dibina adalah berdasarkan pengalaman yang telah dilalui oleh saya dan rakan-rakan untuk ditatap, direnungkan dan dikongsikan kepada rakan-rakan terutama kepada mereka yang terlibat secara langsung dengan program yang telah dijalankan bagi mengimbas kembali nostalgia suka, duka, pahit dan maung bagi kita menrealisasikan program tersebut.
Secara tidak langsung apabila kita menatap blog ini akab terimbas kembali kenangan-kenangan yang telah kita lalui untuk dijadikan tauladan dan penunjuk arah kepada diri kita untuk meneruskan tanggunjawab kita bersama.
Lakaran-lakaran ini juga dapat mengambarkan situasi sebenar apa yang kita lalui disepanjang program yang kita sertai berlangsung dan dapatlah kita jadikan rujukan untuk kita menambahbaikkan pengisian yang sedia ada agar ia menjadi satu program yang efektif sepanjang masa.
Saya juga berharap semoga ada rakan-rakan yang berada di luar sana akan sama-sama berkongsi idea dan pendapat yang membina agar blog ini menjadi salah satu blog yang membina kemajuan diri kepada siapa saja yang menatapnya dan secara tidak langsung program ini tidak hanya berlaku di tempat kejadian tetapi ia juga boleh di hayati melalui laman blog ini.
Kita berharap blog ini akan dapat memberi impak yang besar kepada para pelayan blog ini dengan penghayatan yang jitu segala program yang telah kita jalankan ruhnya akan dapat meresapi ke dalam jiwa dan sanubari mereka supaya dapat mengubah diri dari yang baik kepada yang lebih baik dan yang buruk menjadi baik.
Secara keseluruhan matlamat pembinaan blog ini adalah bukan saja untuk memaparkan apa yang telah kita lalui tetapi yang lebih penting lagi kita mengharapkan penyerapan nilai-nilai murni yang telah kita lalui akan menjadi intipati di dalam diri untuk kita terjemahkan sebagai insan yang terbaik dari kalangan mereka yang baik demi masadepan diri, agama, keluarga, masyarakat dan negara.
Akhir kata semoga anda yang di luar sana akan dapat memahami apa yang tersurat dan tersirat di sebalik isi kandung blog ini agar blog ini tidak menjadi sia-sia tetapi menjadi satu landasan bagi kita berkongsi pengalaman dan ilmu yang boleh dijadikan bekalan sepanjang kehidupan kita di dunia dan akhirat.
Semoga usaha ini akan diberkati dan saya memohon maaf sekiranya terdapat kekurangan dan kecacatan di dalam blog ini segala pandangan dan teguran dari rakan-rakan akan saya jadikan pedoman sekian terima kasih.
8.1.10
Tazkirah Remaja: Tazkirah Remaja
PERSAHABATAN adalah satu nikmat, kerana ia adalah tanda keimanan sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara."
PERSAHABATAN adalah satu nikmat, kerana ia adalah tanda keimanan sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara."
Kita memang diajar berhati-hati memilih teman kerana silap pilih, kadangkala buruk akibatnya.
Persahabatan yang baik akan membawa kita ke syurga dan kalau tersilap, padah membawa ke neraka.
Ada yang bertanya, kalau kita berkawan dengan yang baik saja manakala yang bermasalah dibiarkan saja, siapa pula yang akan mendidik dan menegurnya.
Sebenarnya sudah lama kita melakukan kesilapan dalam melayani seseorang. Remaja yang bermasalah sepatutnya didekati bukannya dipulau atau diboikot.
Cuma mendekati mereka ini memerlukan kekuatan prinsip yang utuh supaya kita yang mendekatinya terutama sesama remaja, agar kita tidak larut dan hanyut terlena serta tertipu kerana tidak kuat prinsip.
Pertemuan kali ini bukannya untuk memberi tip, bagaimana mendekati mereka yang bermasalah tetapi ingin bercerita keprihatinan ulama bergaul dengan niat mengubah mereka yang bermasalah.
Pada suatu hari Ibnu al-Mubarak berjumpa dengan seorang yang jahat pekerti dan rendah budinya dalam satu perjalanan.
Dia terus bergaul dengannya dan berjalan bersamanya walaupun terpaksa menanggung kesabaran atas pekertinya yang kurang menyenangkan itu.
Detik berpisah akhirnya tiba. Ibnu al-Mubarak menjadi sebak dan menangis. Apabila ditanya kenapa dia menangis, dia menerangkan:
"Aku menangis kerana masih sayang kepadanya. Aku terpaksa berpisah dengannya dalam keadaan dia belum dapat berpisah dengan kelakuannya yang buruk itu."
Apa yang kita boleh pelajari dari kisah terbabit ialah:
Berusaha dalam dakwah adalah tanggungjawab kita tetapi pemberian taufiq dan hidayah adalah di tangan Allah.
Berkawan dengan orang yang jahat akhlak adalah sebagai satu cara untuk menguji diri sejauh mana kesabaran dan kesediaan kita untuk memaafkannya.
Sumber : mymetro
PESONA
Sesi persekolahan baru sahaja bermula minggu ini. Bagi yang pertama kali melangkah masuk ke alam persekolahan mahupun pelajar lama, semoga tahun 2010 memberi semangat baru buat anda untuk cemerlang dalam pelajaran.
UNTUK cemerlang dalam pelajaran, insan paling bertanggungjawab membentuk pelajar ke arah itu adalah guru yang tidak pernah jemu memberi tunjuk ajar pada setiap masa.
Ilmu yang dicurahkan oleh guru amat penting bagi menjadikan seseorang itu insan berguna pada masa hadapan. Jadi, guru mesti dihormati kerana jasa mereka tidak akan terhitung oleh kita.
Pada asasnya, tugas hakiki seorang guru adalah mengajar di sekolah. Guru mendidik pelajar supaya menjadi manusia berguna kepada agama, bangsa dan negara.
Mereka juga merupakan ibu bapa kedua kepada pelajar memandangkan banyak masa dihabiskan di sekolah berbanding di rumah.
Pelbagai cara boleh dipraktikkan untuk menghargai jasa guru yang tidak pernah jemu-jemu mencurahkan bakti tanpa mengenal erti jemu.
Guru tidak pernah meminta wang ringgit dan harta sebagai balasan. Cukuplah setiap pelajar menghormati mereka dengan mengucapkan selamat sejahtera apabila berjumpa.
Tidak salah kalau menyapa guru ketika berselisih di luar kawasan sekolah sekalipun.
Dengan cara itu, bukan sahaja dapat menunjukkan sikap menghormati guru, malah dapat mengeratkan lagi hubungan antara mereka demi kebaikan bersama.
Pelajar juga boleh menghargai guru dengan cara menyiapkan kerja sekolah. Mereka mesti menghantar kerja sekolah mengikut masa yang ditetapkan.
Jika terdapat kesalahan dalam latihan, guru akan membetulkannya. Dengan ini, pelajar dapat belajar daripada kesilapan.
Sikap dan disiplin diri seorang pelajar di sekolah juga adalah penting. Pelajar juga boleh menghargai guru dengan cara berdisiplin semasa di sekolah.
Secara tidak langsung, ini boleh menjadikan mereka lebih tekun dalam pelajaran dan seterusnya berjaya dalam hidup.
Mereka juga perlu mematuhi peraturan sekolah. Sebagai contoh, mereka perlu datang awal ke sekolah dan tidak terlibat dalam gengsterisme, vandalisme, ponteng sekolah, melepak dan lain-lain. Oleh itu, jadilah pelajar yang berdisiplin.
Memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti pengajaran guru juga sebahagian tanda hormat dan penghargaan seseorang pelajar.
Dengan membuang masa dan membuat bising dalam kelas ketika guru sedang mengajar adalah tindakan yang menunjukkan pelajar tidak menghormati guru.
Jika sikap seperti ini berterusan dan tidak diperbetulkan, ia akan merugikan masa depan pelajar terbabit.
Sebelum terlambat, ubahlah sikap dengan berusaha sebaik mungkin menghormati dan mengenang jasa guru.
Jika di rumah, ibu bapa adalah insan yang perlu disayangi, manakala di sekolah pula guru umpama ibu bapa.
Jadi, sebagai pelajar, anda boleh menunjukkan kasih sayang kepada guru.
Ia boleh dilakukan dengan dengan membawa buku-buku ke bilik guru, selain memberi hadiah tanda ingatan semasa sambutan Hari Guru.
Namun, apa lebih penting guru akan rasa dihargai apabila pelajar dapat meluangkan masa untuk menziarahi mereka ketika terlantar sakit. Mereka akan berasa disayangi dan diingati sepanjang masa.
Sesungguhnya, guru ibarat lilin yang sanggup membakar diri dan menerangi hidup orang lain.
Lagipun, guru telah berjaya melahirkan generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Janganlah jadi salah seorang yang merugikan masa depan sendiri. Tepuk dada tanya selera. -
NUR AISHAH MOHD. AMI
Sumber
KOSMO : 8 Januari 2010
Motivasi diri – 4 langkah menyelesaikan masalah
4 langkah tu dimulakan dengan…
1. Fahami masalah, usah dicari apa puncanya.
Elak untuk berasa sugul atau menganggap Anda seorang yang malang. Tak ada masalah yang kekal. Masalah muncul untuk mematangkan Anda, mendewasakan Anda lantas menjadikan Anda semakin bijak.
Fahami masalah Anda, dalam dan luar. Elak mencari puncanya kerana perbuatan sebegitu hanya akan menurunkan motivasi Anda. Makin kita cari puncanya masalah tu, makin kita kurang bersemangat nak menyelesaikannya.
Masalah ni macam kita gali lubang. Makin kita cari punca masalah, samalah macam makin dalam makin dalam kita gali lubang tu. Last-last kita akan gali dalam betul sampai dah tak nampak jalan keluar dan bingung nak keluar dengan cara cemana.
2. Tanya diri Anda cemana nak selesaikan masalah tu.
Tanya diri Anda cara apa yang Anda boleh Anda gunakan untuk menyelesaikan masalah. Tanya diri Anda dan terus tanya. Cara ini bagus untuk membuat minda separa sedar Anda terfokus pada penyelesaian masalah lalu ia akan menarik penyelesaian-penyelesaian masalah, bukan berbagai lagi masalah yang membebankan masalah sedia ada. Apa yang banyak kita fikirkan, itulah yang akan muncul dalam hidup kita.
3. Tulis penyelesaian-penyelesaian masalah sebanyak mungkin.
Masalah akan lebih cepat diselesaikan apabila Anda menulis penyelesaian-penyelesaian yang Anda fikirkan tadi. Kita akan rugi besar jika hanya memikir penyelesaian tapi gagal menulis setiap satu penyelesaian yang muncul di fikiran.
Apabila anda menulis penyelesaian tu, Anda akan lebih senang melakar strategi. Anda akan nampak jalan penyelesaian masalah. Kemudian, muncul keyakinan yang masalah Anda itu boleh diselesaikan.
4. Bertindak, tulis untuk rekodkan perkembangan prestasi.
Curahkan lebih banyak masa kepada melaksanakan tindakan. Payah cemanapun, susah cemanapun, fokuskan bertindak.
Hanya tindakan berterusan yang akan menyelesaikan masalah. Dalam konsisten bertindak, tuliskan perkembangan usaha Anda.
Selepas beberapa ketika, baca balik apa yang Anda dah tulis. Anda akan nampak masalah anda semakin sampai ke penghujungnya, lantas membuat Anda makin bersemangat untuk menyelesaikannya.
Apa saja masalah boleh diselesaikan dengan 4 langkah ni, termasuk masalah kewangan.
Persitiwa 8
7.1.10
Persitiwa 7
Tersipu malu... jejaka pemalu ni..